Tuesday 25 December 2018

Sorotan Industri Muzik Malaysia


            Pertama sekali izinkan saya untuk  memperkenalkan diri saya. Nama saya ialah Fareed. Saya mula berkecimpung dalam dunia muzik sejak dari kecil lagi. saya dibesarkan dengan keluarga yang mempunyai latar belakang tentang muzik iaitu bapa kandung saya. Bapa kandung saya merupakan seorang artis tempatan lagu-lagu sabah pada tahun 2004. Sejak dari itu saya pun berminat untuk mempelajari lebih lagi tentang muzik.

Selepas sahaja tamat persekolahan di sekolah rendah saya mendapat tawaran untuk bersekolah di Sekolah Seni Malaysia Sarawak. Sepanjang saya berada di sekolah tersebut saya telah mempelajari banyak perkara tentang muzik. Saya banyak terlibat dengan melakukan persembahan, pertandingan sehingga ke peringkat antarabangsa sepanjang saya berselokah di sekolah tersebut. Kesan daripada penglibatan saya dalam bidang muzik, ia serba sedikit membuka minda saya tentang industri muzik di dunia.

Selepas sahaja tamat persekolahan di Sekolah Seni Malaysia Sarawak selama lima tahun. Saya meneruskan pengajian saya ke peringkat diploma dalam bidang muzik di UITM Shah Alam selama tiga tahun. Sepanjang pengajian saya di UiTM Shah Alam saya mula mengenali industry muzik dengan lebih dalam terutamanya di dalam negara saya sendiri iaitu negara Malaysia. Saya seringkali terdengar segelintir rakyat Malaysia tidak berpuas hati dengan lagu-lagu yang dicipta oleh segelintir penggubah lagu di Malaysia yang mengatakan seolah-olah lagu-lagu Malaysia tidak standing dengan lagu-lagu yang terkenal di seluruh dunia. Persoalanya, adakah industry muzik Malaysia ini tidak sama hebat dengan industry muzik di negara-negara maju yang lain?

Bagi pendapat saya industry muzik di Malaysia boleh dikatakn standing dengan negara-negara maju yang lain kerana wujudnya beberapa penggubah lagu yang memang berbakat dalam menggubah lagu contohnya seperti Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Ezra Kong, Yuna, Micheal Veerapen dan banyak lagi. jika diperhatikan dan degar lagu-lagu ciptaan mereka, kita dapat menilai sendiri perbezaan karya meraka dengan penggubah lagu di Malaysia yang lain.

Industri muzik kita ketika ini sedang bergerak mengikut arus yang turun naik. Kemunculan trend pendengar baru yang kini lebih gemar mendengar menggunakan penstriman atas talian melalui Spotify dan kemudahan akses video muzik melalui Youtube sedikit-sebanyak mengubah cara dan penerimaan orang ramai terhadap muzik.Tidak dinafikan wujud ramai artis dan karyawan di negara kita yang sebenarnya setanding dengan mana-mana karyawan lain di dunia ini dan kita seharusnya berbangga dengan hakikat tersebut, yang mampu menjadi ikon dan contoh yang patut diikuti oleh generasi karyawan akan datang. Jika anda tanya, album muzik manakah yang paling berpengaruh dalam mengubah lanskap muzik negara kita; besar kemungkinan 10 album yang disenaraikan di bawah akan disebutkan.
1.    “Lagenda” oleh Shiela Majid
Gabungan suami isteri (ketika itu) di antara Sheila dan Roslan Aziz, komposer power Malaysia berjaya mengubah lanskap muzik Malaysia, dimana orang ramai mula meminati lagu-lagu bercorak klasik yang menggabungkan jazz dan R&B. Lagu berhantu "Legenda" yang dibuat sebagai penghormatan kepada Tan Sri P.Ramlee menjadi siulan ramai peminat muzik ketika itu.

2.    “Zainal Abidin” oleh Zainal Abidin
Selepas "Legenda", Roslan Aziz bersama ramai lagi komposer-komposer lain seperti Jenny Chin dan Mac Chew yang pernah bekerja bersamanya dalam "Legenda" bergabung dengan Mustaffa Ramly, Man Kidal, Michael Veerapan dan Amir Yussof untuk menghasilkan album yang memecahkan stereotaip lagu Melayu yang ketika itu masih terpalit dengan elemen cinta mendayu-dayu. Lagu 'Hijau' sehingga sekarang kekal relevan dengan gabungan elemen dan muzik etnik Malaysia. Siapa sangka lagu tentang alam sekitar boleh berjaya?


3.    “Transcendence” oleh Butterfingers
Jika ditanya kepada peminat Butterfingers, mungkin ramai akan berkata Butter Worth Pushful merupakan album yang mengubah hidup mereka, tetapi Transendence memang menepati namanya. Album ini memulakan penerimaan orang ramai yang bukan peminat muzik rock berbahasa Inggeris menjadi peminat kugiran Melayu yang bermain muzik rock berbahasa Inggeris. Dengan meletupnya Chemistry (Between Us) dan juga 'Epitome' yang menggabungkan elemen asli dalam muzik rock, Transcendence berjaya memecahkan dinding yang menjadi pemisah muzik keras dengan masyarakat luar.

4.    “innuendo” oleh Innuendo
Merangkul pelbagai anugerah dalam AIM 1998, album ini mungkin lebih dikenali dengan gubahan semula lagu 'Belaian Jiwa' nyanyian asal kumpulan Carefree, namun bila kita menyelam lebih dalam, banyak lagu-lagu yang terkandung dalam album ini belum pernah dibuat lagi di Malaysia oleh mana-mana artis. Zaman ini membawa kepada kemunculan beberapa lagi kumpulan a capella lain yang membuatkan radio kita penuh dengan lagu-lagu yang dinyanyikan sepenuhnya dengan mulut.

5.    “Old Automatic Garbage” oleh OAG
Terjual hampir 100 ribu unit, demam OAG satu masa dulu cukup besar kerana tak ada orang menyangka 'budak-budak Malaysia' mampu mencipta lagu seperti ini, untuk orang Malaysia. SIngle '60'sTV' kedengaran setiap hari di radio dan jualan kasetnya meletup sehinggakan jualan cetak rompaknya wujud hanya untuk memenuhi permintaan. Kepada yang belum tahu, pengacara dan pelakon Qi Razali adalah drummer dalam album ini.

6.    “Plan B” oleh Too Phat
Malique dan Joe Flizzow mungkin tidak lagi bersama namun kesan karya mereka kepada negara sehingga kini masih dirasai. Mungkin 'Plan B' bukan album pertama rap dan hip hop di Malaysia yang terlebih dahulu dipopularkan oleh kumpulan lain seperti Krash Kozz atau Poetic Ammo, gabungan elemen Malaysia dalam 'Plan B' lebih dirasai yang membuatkan orang Malaysia yang selama ini tak pernah dengar hip hop dan rap, dapat menerima irama muzik ini.

7.    “Saudagar Mimpi” oleh M.Nasir
'Saudagar Mimpi' bukanlah album M.Nasir yang paling popular, tetapi album ini cukup penting kerana membuka jalan kepada keterbukaan orang ramai untuk menerima muzik M.Nasir yang jauh daripada stereotaip. Mesej ketuhanan, falsafah, logika dan hidup yang disampaikan jauh menyimpang daripada tema-tema kebiasaan lagu pada zaman itu. Lagu 'Di Balik Cermin Mimpi' yang agak ringan menjadi runut hidup kepada ramai orang Malaysia.

8.    “Puji-pujian” oleh Raihan
Buang semua elemen agama dan mesej ketuhanan dalam album ini lalu dengarkan saja muziknya, kita pasti dapat mendengar sebuah album yang mengandungi muzik yang positif serta mampu didengar semua orang. Gabungkan elemen Islam dalam liriknya, wujudlah satu pakej hiburan dan dakwah yang lengkap. Album ini membuang kebanyakan stereotaip lagu nasyid yang ada pada zaman itu serta membuka mata masyarakat bukan Islam terhadap keindahan Islam.

9.    “Fenomena” oleh Search
"Fenomena" meletup bukan sekadar di Malaysia, malahan membuka mata karyawan Indonesia tentang berapa jauh lagu rock Bahasa Melayu boleh berkembang. Terjual lebih 1 juta unit di Indonesia dan memenangi anugerah Juara Lagu menerusi lagu 'Isabella', pada era itu seolah-olah wujud ikatan erat antara Malaysia dan Indonesia bekerjasama dalam bidang hiburan. Diinspirasikan oleh album itu, dua filem dihasilkan iaitu 'Fenomena' lakonan M.Nasir dan Ramona Rahman, serta 'Isabella' lakonan Amy Search dan Nia Zulkarnaen dari Indonesia.





10. “30110” oleh Ella
Album ini mengandungi salah satu karya terbaik Saari Amri, lagu bertajuk 'Sembilu' yang rasanya hanya boleh dinyanyikan oleh Ella. Selain itu, negara kita dihantui dengan lagu 'Layar Impian' yang masih enak didengar sehingga sekarang. Jika dibandingkan dengan album 'Ella USA' yang terbit selepas '30110" memang 'USA' adalah album yang lebih baik, tetapi '30110' menunjukkan yang gabungan rock dan pop dalam satu album, yang dinyanyikan oleh seorang wanita mampu berdiri dalam industry.



Kesimpulannya, industry muzik Malaysia sememangnya standing dengan negara maju yang lain. Oleh itu hargaila industry muzik Malaysia.